Pemuda PAS Perak
Laman Facebook Rasmi Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
27/05/2026
Aidiladha mengajar kita bahawa perjuangan memerlukan pengorbanan dan pengorbanan menuntut keikhlasan.
Semoga hari yang penuh barakah ini mendidik hati kita untuk terus istiqamah dalam perjuangan, memperkukuh ukhuwah dan menyemai kasih sesama insan.
Aidiladha bukan sekadar tentang korban, tetapi tentang menyerahkan seluruh jiwa kepada Allah dengan penuh taqwa dan keikhlasan.
Semoga setiap pengorbanan kita, walau sekecil mana pun, menjadi asbab keberkatan dan kemenangan buat umat.
Di sebalik titisan darah korban, tersimpan seribu makna tentang sabar, taat dan pengorbanan.
Semoga Aidiladha kali ini membawa ketenangan buat setiap keluarga, mengeratkan silaturahim dan menguatkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
24/05/2026
Tegas dan jelas.
KENYATAAN MEDIA
YB DATUK USTAZ IDRIS BIN HJ AHMAD
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
HORMATI INSTITUSI RAJA DAN JANGAN CETUSKAN KETEGANGAN KAUM
PAS Negeri Perak memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP, Tony Pua, yang dilihat mempertikaikan titah serta nasihat DYMM Sultan Selangor berkaitan isu-isu yang menyentuh asas Perlembagaan Persekutuan, keharmonian kaum dan sensitiviti masyarakat majmuk negara ini.
Institusi Raja-raja Melayu merupakan payung kepada kestabilan negara dan lambang perpaduan rakyat. Justeru, sebarang respons terhadap titah atau pandangan Raja-raja Melayu hendaklah dilakukan dengan penuh adab, berhati-hati serta menghormati kedudukan institusi tersebut dalam kerangka Perlembagaan negara. Sikap mempertikaikan atau memberi reaksi secara terbuka dengan nada yang mengundang polemik hanya akan menambahkan keresahan rakyat dan mengeruhkan lagi hubungan antara kaum serta agama.
PAS Perak berpandangan bahawa isu-isu melibatkan Bahasa Kebangsaan, pendidikan, agama, perlembagaan dan hak-hak yang termaktub dalam kontrak sosial negara tidak boleh diperdebatkan secara emosional dan sempit. Semua pihak perlu mengutamakan pendekatan yang lebih matang dan bertanggungjawab demi memelihara keamanan serta keharmonian negara yang telah dibina sejak sekian lama.
Pada saat rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran global, negara memerlukan kepimpinan yang menenangkan keadaan serta memperkukuhkan perpaduan rakyat, bukannya terus mencetuskan kontroversi demi kontroversi yang tidak membawa manfaat kepada negara.
PAS Perak menyeru semua pihak agar kembali menghormati semangat Perlembagaan, menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum serta mengelakkan kenyataan yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Sekian, terima kasih.
YB DATUK USTAZ IDRIS BIN HJ AHMAD
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
Merangkap Naib Presiden PAS
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Website
Address
Ipoh