Lajnah Dakwah & Iqra’ RAPI
Dakwah
22/04/2022
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم,
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Pengajaran:
1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.
2. Antara amalan kebaikan yang selalu dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah bersedekah dan bertadarus al-Qur’an. Setiap Muslim dituntut membaca al-Qur’an pada setiap hari, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia ini kerana dengan bertadabbur makna dan kandungan al-Qur’an akan meningkatkan keimanan dan kekayaan hati ke arah kebaikan.
3. Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan memperbanyakkan bersedekah, membaca, dan mentadabur al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan serta dihidangkan di dalamnya dengan pelbagai amal ibadah yang pahalanya digandakan.
4. Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
5. Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala.
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ
“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96)
21 Ramadan 1443H
22 April 2022
Jumaat
&kebajikan
13/04/2022
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم,
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Pengajaran:
1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.
2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.
3. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.
4. Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.
5. Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”
6. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).
Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.
11 Ramadan 1443H
13 April 2022
Rabu
&kebajikan
11/04/2022
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم,
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Pengajaran:
1. Mendirikan Ramadan atas dasar iman bermaksud menghidupkan malam hari dengan solat sunat tarawih, solat witir, solat tahajud, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal solleh kerana meyakini akan amalan sunnah.
2. Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata dari Allah SWT. Tidak merasa berat melaksanakan ibadah. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.
3. Semoga ibadat qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu
4. Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...
Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.' (HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih
Ayuh, pastikan kita dapat bersama solat tarawikh sama ada di masjid atau di surau, bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid atau tidak tunggu hingga selesai sedangkan imam masih bersolat.
9 Ramadan 1443H
11 April 2022
Isnin
&kebajikan
Click here to claim your Sponsored Listing.
Telephone
Website
Address
Sabah