NOTA Muhammad Iqbal Razali
Perkongsian perkara-perkara agama, semoga kita semua lebih dekat denganNya.
19/03/2026
𝗔𝗺𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿 & 𝗦𝗲𝗹𝗲𝗽𝗮𝘀 𝗕𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗥𝗮𝗺𝗮𝗱𝗮𝗻
Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم akan beristighfar pada setiap hari sebanyak 70/100 kali mengikut riwayat yang berbeza.
Daripada sunnah tersebut, para sahabat dan ulama selepas itu mengamalkan dan menggalakkan istighfar pada akhir Ramadan. Begitu juga pada akhir setiap amalan soleh dilakukan.
Diriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz telah mengutuskan surat kepada wilayah-wilayah Islam dan mengarahkan mereka untuk mengakhiri Ramadan dengan beristighfar.
Antara faedah beristighfar selepas melakukan amal soleh adalah agar kita tidak merasa bangga dan tertipu dengan amalan-amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini. Kerana berapa ramai yang terhapus pahala amalannya kerana diuji dengan riak dan taajub dengan amalannya sendiri.
Bagaimana perasaan riak dan taajub itu tidak hadir, kalau sebelum ini kita tidak terbiasa melakukan amalan-amalan soleh yang banyak seperti yang diamalkan pada 10 hari terakhir Ramadan. Maka akan datang syaitan menghasut dan memperdaya kita daripada jalan itu, ‘lihatlah diriku telah mengkhatamkan Al-Quran dalam keadaan fulan tidak mengkhatamkannya’.
Oleh yang demikian, perbanyakkanlah istighfar dan memohon ampun kepada Allah Taala agar amalan-amalan yang dilakukan diterima olehNya. Dan ingatlah bahawa sebaik manapun sesuatu amalan dilakukan, pasti akan ada kekurangan pada sebelum, semasa dan selepas melakukannya.
Demikianlah yang diajarkan Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan ianya jelas apabila baginda beristighfar selepas selesai menunaikan ibadah solat.
Diriwayatkan daripada sebahagian salaf bahawa mereka akan bersedia menyambut Ramadan pada 6 bulan sebelumnya dan 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝗱𝗼𝗮 𝗹𝗮𝗴𝗶 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝟲 𝗯𝘂𝗹𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗹𝗲𝗽𝗮𝘀 𝗥𝗮𝗺𝗮𝗱𝗮𝗻 𝗮𝗴𝗮𝗿 𝗮𝗺𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗺𝗲𝗿𝗲𝗸𝗮 𝗱𝗶𝘁𝗲𝗿𝗶𝗺𝗮.
Semoga Allah Taala menerima semua amalan kita di bulan Ramadan kali ini, ameen. كل عام وأنتم بخير
Faedah daripada Syeikh Abdul Salam asSyuwair
29 Ramadan 1447
29/05/2025
**DOA-DOA HARIAN**
Diriwayatkan bahawa baginda nabi Muhammad(saw) telah memberitahu isteri baginda Aisyah ‘Hendaklah kamu mengamalkan doa yang terkumpul dan sempurna ini’. Dan itulah sifat doa-doa baginda yang terbaik dalam mengumpulkan segala kebaikan.
Berkata asSyaukani : ‘Tidak ada doa yang lebih bermanfaat untuk diamalkan melainkan doa ini. Kerana doa ini telah mengumpulkan segala kebaikan di dunia dan akhirat. Begitu juga doa ini mengajarkan untuk kita berlindung daripada segala keburukan di dunia dan akhirat’.
Demikianlah doa yang perlu diminta kepada Allah Taala oleh setiap daripada kita. Kerana kebaikan dan keburukan yang hakiki itu hanya diketahui oleh Allah Taala sahaja, maka alangkah baiknya kita meminta kepadaNya dengan apa yang diredhai olehNya.
(وَعَسَىٰۤ أَن تَكۡرَهُوا۟ شَیۡـࣰٔا وَهُوَ خَیۡرࣱ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰۤ أَن تُحِبُّوا۟ شَیۡـࣰٔا وَهُوَ شَرࣱّ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ)
Maksudnya : (dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu s**a kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.)
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 2 Zulhijjah 1446
22/05/2025
*DOA-DOA HARIAN*
Doa agung ini telah mengumpulkan faedah yang tidak terhingga sekiranya dihitung kerana doa ini telah mengumpulkan segala kebaikan di dunia dan akhirat.
Pada awal doa ini, baginda nabi Muhammad(saw) telah mengajarkan kita untuk merendahkan diri dihadapan Allah Taala setiap kali berdoa dan itulah antara adab ketika berdoa. Semakin tinggi rasa hina diri dalam jiwa seorang hamba maka semakin tinggi pengharapannya kepada Allah Taala.
Begitu juga apabila baginda nabi Muhammad(saw) meminta hidayah daripada Allah Taala, kita diajar bahawa jalan petunjuk dan kesesatan itu berada dibawah kekuasaanNya. Maka menjadi kewajipan untuk kita beramal dan berusaha agar sentiasa mendapat taufiq daripada Allah Taala.
Pada akhir hadith ini, baginda nabi Muhammad(saw) mengajarkan kita untuk memuji Allah Taala ketika berdoa kepadaNya sebagai satu bentuk wasilah yang dapat menjadikan doa itu lebih dekat untuk dimakbulkan olehNya.
(وَمَن یُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن سَبِیلٍ)
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 24 Zulkaedah 1446
UBat Bagi Kejahilan Adalah Bertanya
Daripada Jabir bin Abdillah berkata : “Kami telah keluar bermusafir dan seketul
batu telah menimpa seorang daripada kami sehingga kepalanya terluka. Kemudian dia bermimpi menyebabkan dia perlu mandi wajib, lantas dia bertanya : ‘Adakah kelonggaran untuk aku bertayamum?’. Mereka berkata : ‘Kami tidak mendapati kelonggaran untukmu sedangkan kamu mampu menggunakan air’. Lalu dia mandi untuk bersuci dan meninggal dunia.
Apabila kami datang bertemu nabi Muhammad(saw) dan dikhabarkan peristiwa tadi kepada baginda. Baginda berkata : ‘Mereka telah membunuhnya, semoga Allah membunuh mereka! Mengapa mereka tidak bertanya sedangkan mereka tidak mengetahui?
Sesungguhnya ubat untuk kejahilan itu adalah bertanya...”
Antara faedah yang diperolehi daripada hadith di atas :
-Mereka yang tergesa-gesa dalam memberi fatwa, lebih-lebih lagi tanpa adanya ilmu akan menyebabkan kebinasaan seseorang.
-Kejahilan itu merupakan penyakit yang hanya dapat dirawati dengan bertanya kepada ahli ilmu seperti firman Allah Taala :
وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا قَبۡلَكَ إِلَّا رِجَالࣰا نُّوحِیۤ إِلَیۡهِمۡۖ فَسۡـَٔلُوۤا۟ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ﴿ ٧ ﴾
Maksudnya : Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka ; maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui(ulama’) jika kamu tidak mengetahui. Al-Anbiyāʾ, 7
Bahkan baginda nabi Muhammad(saw) juga menyeru ummat baginda untuk menuntut ilmu seperti yang disebutkan di dalam hadith :
طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ
Maksudnya : ‘Menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan ke atas setiap muslim’. Dan yang dimaksudkan dengan ilmu yang wajib dituntut itu adalah ilmu fardhu ain.
Semoga Allah Taala memilih kita semua untuk terus belajar perihal agamaNya dan untuk menjadi orang yang diberikan kebaikan dengan adanya sedikit kefahaman seperti yang disebutkan dalam hadith :
مَن يُرِدِ اللَّهُ به خَيْرًا يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ
Maksudnya : ‘Barangsiapa yang Allah Taala berkehendak baginya kebaikan, Allah Taala akan berikan dia kefahaman dalam beragama’.
Faedah daripada Syeikh Ibrahim Rafiq atTowil
📝Muhammad Iqbal Razali / 22 Zulqa’dah 1446
*Penyakit dan Penawar*
Suatu hari , Imam Ibn alQayyim ditanya : “Apa pendapatmu wahai imam tentang orang yang diuji dengan maksiat, dalam keadaan dia sedang berusaha untuk meninggalkannya dengan pelbagai cara. Maka tidaklah semakin bertambah usahanya melainkan semakin bertambah maksiat yang dilakukannya”
Maka alImam menjawab : “Telah diriwayatkan dalam Sahih alBukhari bahawa baginda nabi Muhammad(saw) bersabda ;
(مَا أَنْزَلَ الله دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً)
Maksudnya : Allah Taala tidak akan menurunkan penyakit melainkan akan turun baginya penawar.”
Daripada pertanyaan dan jawapan yang diberikan oleh alImam, terdapat beberapa faedah :
-Seseorang yang telah melakukan maksiat dan ingin kembali dan taubat ke jalan Allah, itu merupakan taufiq dan hidayah yang telah diberikan Allah Taala kepadanya.
-Perbuatan maksiat adalah salah satu penyakit hati dan sebesar-besar penyakit yang perlu dirawat, apatah lagi sekiranya seseorang itu tidak sedar bahawa dia mempunyai penyakit itu.
-Sebaik-baik da’ie apabila ditanya dengan soalan sebegini, dia tidak memalingkan rahmat Allah Taala daripada hambaNya. Bahkan mendorong mereka ke arah yang benar.
-Kefahaman alImam yang mendalam apabila tidak memahami hadith dengan penyakit badan yang zahir semata-mata, tetapi juga memahami bahawa yang dimaksudkan dengan penyakit dalam hadith tersebut adalah penyakit-penyakit hati juga seperti melakukan maksiat.
Semoga Allah Taala merahmati kita semua yang sering diuji dengan banyak melakukan maksiat dan sedikitnya taubat.
Faedah daripada Syeikh Ibrahim Rafiq atTowil
📝Muhammad Iqbal Razali / 16 Zulkaedah 1446
04/05/2025
*DOA-DOA HARIAN*
Ini merupakan doa agung dalam memohon perlindungan daripada keburukan yang telah dibuat pada masa lalu dan keburukan yang akan dibuat pada masa akan datang.
Berkata As-Syaukani : “Doa yang diajarkan oleh baginda nabi Muhammad(saw) ini merupakan satu tuntutan ke atas kita semua agar berlindung dengan segala jenis keburukan seperti mana yang diriwayatkan dalam riwayat lain dan ia juga menunjukkan bahawa manusia bersifat lemah kerana telah melakukan keburukan dan pasti akan melakukannya lagi pada masa mendatang”.
Namun begitu, Allah Taala sudahpun menyediakan jalan pulang kepada kita semua, iaitu dengan sentiasa takut daripada azab yang disediakanNya dan sentiasa berharap dengan rahmat serta keampunan daripadaNya. Tinggal kita sahaja perlu kembali ke jalan itu.
(وَأَنِیبُوۤا۟ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُوا۟ لَهُۥ مِن قَبۡلِ أَن یَأۡتِیَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ)
Maksudnya : "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”. AzZumar, 54
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 6 Zulkaedah 1446
24/04/2025
*DOA-DOA HARIAN*
Dalam riwayat ini, Nabi Muhammad(saw) mengajarkan kita semua untuk berlindung dengan beberapa sifat buruk manusia iaitu sifat bakhil dan tua(nyanyuk).
Kebakhilan itu merupakan perbuatan seseorang menghalang dirinya untuk menunaikan kewajipan dalam mengeluarkan harta kepada mereka yang memerlukan, sama ada dia tidak mengeluarkan langsung daripada hartanya mahupun dia mengeluarkan namun tidak memadai dengan jumlah harta kekayaanya.
Adapun sifat nyanyuk itu adalah sifat manusia yang semakin menua sehingga melemahkan akal fikiran dan kefahamannya. Dan itu merupakan sifat yang bertentangan dengan sifat manusia yang dicipta dengan kekuatan untuk berilmu dan beramal dengan sempurna.
Kerana itu, Allah Taala menyebutkan dua sifat ini di dalam AlQuran agar kita semua sentiasa berlindung daripada keburukan itu dan sentiasa sedar bahawa manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah dan miskin sehingga Dia memberikan nikmat-nikmat tersebut kepada kita semua.
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 26 Syawwal 1446
17/04/2025
*DOA-DOA HARIAN*
Doa ini antara doa memohon perlindungan daripada hilangnya nikmat dan pemberian Allah Taala yang diajarkan baginda nabi Muhammad(saw) kepada kita semua.
Berkata as-Syaukani : ‘Nikmat dan rezeki daripada Allah Taala tidak akan berkurang sekiranya seseorang hamba itu sentiasa bersyukur kepadaNya’.
Begitu juga sekiranya seseorang itu banyak melakukan dosa dan maksiat tanpa adanya penyesalan dan taubat kepada Allah Taala, maka dia seolah-olah menjemput keseksaan dan kemurkaanNya. Nauzubillah min zalik.
Adapun kesejahteraan, ia merupakan nikmat teragung yang dapat menyelamatkan seorang hamba di dunia mahupun akhirat. Kerana itu baginda nabi Muhammad(saw) mengajarkan bapa saudara baginda untuk memohon kesejahteraan kepada Allah Taala.
'سَلِ اللَّهَ الْعَافِيَةَ'
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 18 Syawwal 1446
10/04/2025
*DOA-DOA HARIAN*
Pada akhir hadith berkaitan doa ini, Nabi Muhammad(saw) mengajarkan kita untuk sentiasa memohon keampunan daripada Allah Taala.
Dan yang dimaksudkan dengan kejauhan disini adalah keampunan atau penghapusan dosa daripada Allah Taala atas dosa dan kesalahan yang dibuat serta perlindungan daripada dosa yang akan mendatang.
Mengapa digambarkan dengan kejauhan timur dan barat? Kerana ianya merupakan jarak pemisah yang paling jauh dan mustahil akan bertemu sampai bila-bila. Dan itu disaksikan oleh setiap daripada kita, seolah-olah kita memohon agar tidak lagi dekat dengan perbuatan-perbuatan dosa.
Berkata al-Kirmani : ‘Kejauhan menggambarkan dosa yang mendatang, penjernihan menggambarkan dosa yang dibuat sekarang dan penyucian menggambarkan dosa yang telah lalu. Semoga Allah Taala mengampuni semua dosa-dosa kita, ameen.
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 11 Syawwal 1446
10/01/2025
*DOA-DOA HARIAN*
Doa ini menceritakan berkenaan perumpamaan suatu kain putih kotor yang disucikan itu jelas menunjukkan bahawa dosa-dosa yang dilakukan setiap manusia pasti akan diampunkan oleh Allah Taala. Ianya jelas sepertimana yang dinyatakan di dalam alQuran dan asSunnah melainkan mereka yang mati dalam menyekutukanNya.
Maka ketahuilah bahawa setiap dosa dan hawa nafsu itu seperti kayu api yang menjadi bahan bakar kepada kebakaran, maka padamkanlah ia dengan air sejuk amalan dan taqwa kepada Allah Taala.
Berkata alImam Ibn alQayyim : ‘Setiap penyakit itu dirawati dengan ubatnya dan penyakit dosa yang mengotorkan hati itu dirawat dan disucikan dengan taubat dan keampunanNya. Kerana itu dosa digambarkan dengan kepanasan/kebakaran dan pengampunan Allah Taala digambarkan air salji dan embun’.
Semoga Allah Taala mengampuni dosa-dosa kita sebagaimana sucinya kain putih daripada segala kotoran.
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 10 Rejab 1446
28/12/2024
*DOA-DOA HARIAN*
Setiap manusia pasti tidak akan terlepas daridapa diuji oleh Allah Taala , sama ada dengan kesenangan(banyaknya kenikmatan) mahupun dengan kesusahan(banyaknya keperitan).
Kerana itu Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم mengajarkan doa ini kepada kita agar setiap kesenangan yang membawa kesombongan dan kebakhilan dapat dijauhkan. Begitu juga dengan setiap kesusahan yang membawa kepada tidak sabar dan putus asa daripada rahmat Allah Taala perlu dielakkan.
Berkata alImam anNawawi : ‘Berlindung dengan fitnah kekayaan dan kemiskinan ini dapat mengelakkan seseorang daripada jatuh ke lembah kemaksiatan kepada Allah Taala yang akhirnya membuka ruang kepadanya untuk terpedaya dengan fitnah dajjal.
Oleh itu, mohonlah perlindungan daripada Allah Taala agar kita terselamat dengan segala fitnah dan ujian di dunia ini kerana tiada fitnah yang lebih dahsyat dan besar melainkan fitnah dajjal yang akan timbul di akhir zaman seperti mana yang digambarkan dalam hadith yang lain.
Faedah daripada Syeikh Abdul Razak AlBadr
📝Muhammad Iqbal Razali / 26 Jumadil Akhir 1446
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Telephone
Website
Address
Amman