Hasli Alias
Interested in governance, policy, politics. "Pursuing a degree in Public Management with a keen interest in governance, public policy, and political systems."
01/12/2025
Sistem First-Past-The-Post (FPTP) Gagal?
1. Keputusan PRN Sabah Ke-17 meninggalkan satu fakta yang sukar untuk kita diabaikan. Majoriti wakil rakyat yang menang, sebenarnya tidak dipilih oleh majoriti pengundi di kawasan mereka sendiri. Pelik kan?
2. Laporan Malaysiakini mendedahkan bahawa hanya sekitar 1 daripada 5 pemenang memperoleh lebih 50% undi. Selebihnya menang dengan sokongan 40%, 30%, malah ada yang di bawah 30%.
3. Ini bermakna, di kebanyakan DUN, lebih ramai pengundi sebenarnya mengundi calon lain, tetapi kerana undi berpecah, calon yang mendapat undi paling tinggi walaupun tidak mewakili majoriti tetap diisytihar sebagai pemenang.
4. Menurut penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat, inilah antara kesan paling jelas sistem first-past-the-post (FPTP) yang kita guna di Malaysia hari ini.
5. Dalam sistem ini, siapa yang paling banyak undi akan menang, walaupun jauh daripada majoriti (lebih 50%) dan ia sah dari segi undang-undang. Tetapi persoalan yang timbul ialah sejauh mana ia sah dari sudut “kehendak sebenar rakyat”?
6. Apabila hampir 80% wakil rakyat dipilih tanpa sokongan majoriti (lebih 50%) pengundi di kawasan masing-masing, kita perlu jujur dengan diri sendiri, adakah kita benar-benar memilih wakil yang kita mahu, atau sekadar menerima hasil daripada pecahan undi?
7. PRN Sabah kali ini bukan sekadar tentang siapa bentuk kerajaan. Ia membuka kepada satu realiti demokrasi kita bahawa menang kerusi tidak semestinya bermakna menang sokongan (undi popular) rakyat secara menyeluruh.
8. Dan soalan yang lebih besar untuk seluruh Malaysia ialah, adakah sistem yang kita guna hari ini masih benar-benar menggambarkan suara majoriti?
9. Tak perlu jawab hari ini tetapi cuba-cubalah fikirkan.
15/11/2025
Bersama BN Wangsa Maju menghantar calon² Barisan Nasional Sabah di N30 Bongawan, Mohamad Bin Alamin dan calon N31 Membakut, Hj. Rusman Bin Dulamit di Pusat Penamaan Calon Anjung Wawasan di Parlimen Kimanis.
Semoga kemenangan milik Barisan Nasional.
22/03/2025
Daripada Pendudukan Haram kepada Pengiktirafan Sah: Di Mana Garis Sempadan Kita?
Kebelakangan ini, kita menyaksikan satu fenomena yang semakin menjadi kebiasaan—pendudukan tanah secara haram yang akhirnya mendapat pengiktirafan sah. Dalam beberapa kes, struktur yang dibina tanpa sebarang kebenaran atau kelulusan akhirnya dianggap “warisan komuniti”, lalu diberi pampasan, malah tanah ganti secara percuma.
Trend ini sangat membimbangkan. Ia mencetuskan persoalan besar: adakah kita sedang mengundang lebih banyak pencerobohan dengan mengiktiraf pelanggaran undang-undang?
Apa yang berlaku bukanlah kebetulan. Ia adalah corak yang diulang. Pendudukan berlaku atas tanah milik kerajaan atau syarikat swasta. Struktur binaan didirikan—Apabila pihak berkuasa mula bertindak, akan muncul sidang media tergempar, poster-poster tuntutan, dan rayuan bersandarkan sentimen perkauman atau agama.
Dalam industri hartanah, kita biasa mendengar konsep "build then sell" atau "sell then build". Tetapi dalam isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran, konsep yang muncul ialah "build then claim"—bina dulu secara haram, kemudian tuntut hak dan pengiktirafan.
Harus ditegaskan, ini bukan soal kuil semata-mata, ini terkait isu undang-undang negara. Pendirian ini juga terpakai terhadap surau, masjid atau tokong—semua bentuk struktur keagamaan. Jika pembinaan dilakukan di atas tanah milik orang lain tanpa kebenaran, ia adalah satu bentuk pencerobohan hartanah, bukan hak istimewa mana-mana kaum atau agama.
Mana-mana pihak yang melakukan pencerobohan tidak sewajarnya menerima pampasan atau tanah ganti. Sebaliknya, mereka seharusnya membayar sewaan tertunggak sepanjang tempoh menduduki tanah tersebut secara haram.
Kes Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India memberi gambaran jelas tentang isu ini. Dibina di atas tanah milik swasta (Jakel Trading Sdn Bhd) sejak sekurang-kurangnya tahun 2009 (dakwaan mereka ialah 130 tahun), kuil tersebut beroperasi tanpa kelulusan rasmi. Namun, pada Mac 2025, tekanan media dan politik mula dikerah supaya kuil tersebut tidak dipindahkan.
Pihak Jakel menjelaskan tiada perobohan paksa akan berlaku, sebaliknya proses rundingan sedang dijalankan untuk pemindahan secara harmoni. Namun, desakan supaya kerajaan “campur tangan” mula kedengaran. Sidang media diadakan, dan pelbagai pihak menyuarakan pendirian dengan memainkan naratif ‘kuil warisan’.
Dalam masa yang sama, DBKL mendedahkan terdapat 118 kes pencerobohan tanah milik kerajaan di sekitar Kuala Lumpur. Ini bukan satu kes terpencil, tetapi satu corak yang semakin menular.
Dalam menghadapi isu ini, kita memerlukan tindakan yang bijaksana, berprinsip dan menyeluruh. Berikut antara langkah yang boleh dipertimbangkan:
1. Gubal Dasar Rumah Ibadat yang Tegas dan Saksama
- Semua rumah ibadat mesti mematuhi garis panduan pembinaan yang sah, tanpa mengira agama atau lokasi.
2. Laksanakan Audit Nasional Rumah Ibadat
- Pemetaan lokasi dan status sah rumah ibadat di seluruh negara akan membantu kerajaan merancang secara strategik dan adil.
3. Wujudkan Sistem Pendaftaran Berpusat
- Pendaftaran secara rasmi perlu diwajibkan kepada semua rumah ibadat agar tidak berlaku kes ‘tiba-tiba muncul’ di atas tanah yang tidak dibenarkan.
4. Galakkan Dialog Komuniti dan Libat Urus Awam
- Pihak PBT, pemilik tanah dan wakil komuniti agama perlu duduk semeja bagi menangani isu-isu ini lebih awal sebelum menjadi krisis nasional.
Malaysia adalah negara majmuk yang mengangkat kebebasan beragama dalam Perlembagaan. Namun, kebebasan itu bukan lesen untuk melanggar undang-undang atau merampas hak orang lain. Jika prinsip asas seperti hak milik tanah pun kita tidak mampu pertahankan, maka sistem kita akan runtuh sedikit demi sedikit.
Sudah tiba masanya kita berlaku adil—bukan hanya kepada agama atau kaum kita sendiri, tetapi kepada prinsip keadilan itu sendiri.
Sebuah negara yang bersatu bukan dibina atas dasar siapa paling kuat bersuara, tetapi siapa yang paling hormat pada undang-undang dan paling ikhlas menjaga keharmonian.
Wallahualam.
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Website
Address
Kuala Lumpur
Bangsar
53100