KOLEJ TENTERA UDARA RASMI
HALAMAN RASMI BAGI MEMAPARKAN AKTIVITI SEMASA DAN TERKINI KOLEJ TENTERA UDARA
12/06/2026
CERAMAH AGAMA BULANAN SEMPENA AWAL MUHARAM 1448H: "HIJRAH HATI: MENTRANSFORMASI DIRI, MENGUKUH INSTITUSI KELUARGA"
ALOR SETAR, 11 Jun 2026 – Bersempena kedatangan Awal Muharam 1448H, Pejabat Agama Kolej telah menganjurkan Ceramah Agama Bulanan bertajuk "Hijrah Hati: Mentransformasi Diri, Mengukuh Institusi Keluarga" yang berlangsung di Surau Al-Iman, Kolej Tentera Udara.
Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Aswad bin Mohd Nason, pengasas merangkap Ahli Lembaga Tadbir Maahad Al Iman Li Ulumil Quran. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Kolej yang hadir bagi menghayati pengisian kerohanian yang telah disampaikan.
Dalam ceramahnya, beliau menegaskan bahawa hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain, bahkan lebih penting adalah perubahan hati dan jiwa ke arah yang lebih baik. Beliau menjelaskan bahawa transformasi perlu bermula dengan muhasabah diri, pembaikan hubungan dengan Allah SWT serta berusaha meninggalkan sifat-sifat negatif yang boleh merosakkan kehidupan individu dan keluarga. Menurut beliau lagi, institusi keluarga yang kukuh dan bahagia akan terbina apabila setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing. Oleh itu, perlu wujudkan suasana rumah tangga yang harmoni melalui penghayatan nilai-nilai Islam, komunikasi yang berkesan, sikap saling menghormati dan amalan ibadah yang berterusan.
Warga Kolej juga turut diingatkan untuk menggunakan kebijaksanaan dalam berkomunikasi dengan ahli keluarga, menghargai pengorbanan dengan tidak mengabaikan mereka serta meluangkan masa bersama dengan membawa mereka ke majlis ilmu.
Penganjuran ceramah agama ini telah dihadiri seramai 350 orang yang terdiri dari kalangan pegawai, anggota LLP, penuntut kursus serta ahli BAKAT Kolej. Turut hadir YBhg Brig. Jen Azman bin Taib TUDM, Komandan Kolej Tentera Udara bersama isteri Puan Che Noraini binti Hj Ahmad merangkap Pengerusi BAKAT Kolej, Pegawai-pegawai Memerintah dan Ketua-ketua Cawangan.
Diharapkan dengan penganjuran program kerohanian seperti ini menyemarakkan lagi penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga Kolej serta menjadi pemangkin kepada usaha membentuk individu yang berakhlak mulia dan keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah selaras dengan tuntutan agama. Semoga kedatangan tahun baharu Hijrah menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik, bermula dengan hijrah hati, seterusnya mentransformasi diri dan mengukuhkan institusi keluarga demi memperoleh keredaan Allah SWT.
12/06/2026
PROGRAM DERMA DARAH SEMPENA HARI ULANG TAHUN TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA KE-68
ALOR SETAR, 11 Jun 2026 - Program Derma Darah sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-68 yang dianjurkan oleh 817 Rumah Sakit Angkatan Tentera dengan kerjasama Jabatan Transfusi Hospital Sultanah Bahiyah hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 133 penderma darah.
Program yang berlangsung dengan jayanya itu bertujuan membantu menambah bekalan darah di hospital di samping menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia serta masyarakat setempat.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan daripada para pegawai, anggota, pelatih dan staf awam yang tampil menyumbang darah sebagai usaha membantu pesakit yang memerlukan rawatan.
Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen berterusan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam menyokong inisiatif kemasyarakatan dan memperkukuhkan hubungan antara pasukan keselamatan dengan masyarakat.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.
PAMERAN KERJAYA KOLEJ TENTERA UDARA DI Universiti Utara Malaysia (Official FB)
05/06/2026
MAJLIS PENUTUP AEROSPACE SUPPORT ENGINEERING SKILL COURSE SIRI 13/26
ALOR SETAR, 5 JUN 26 – Majlis Penutup Aerospace Support Engineering Skill Course (ASESC) Serial 13/26 telah diadakan di Dewan Auditorium, Institut Teknologi Aerospace (ITAS).
Aerospace Support Engineering Skill Course (ASESC) Serial 13/26 melibatkan 10 anggota LLP TUDM dan 5 anggota LLP TLDM yang berlangsung selama 10 minggu bermula 30 Mac 26 hingga 5 Jun 26.
Objektif kursus ASESC ini adalah untuk melatih anggota kejuruteraan dalam menjalankan tugas sebagai juruteknik yang berkelayakan untuk penyelenggaraan aset Aerospace Ground Support Equipment (AGSE) dan Aerospace Ground Support Vehicle (AGSV).
Majlis telah disempurnakan oleh Komandan Kolej Tentera Udara, YBhg Brig Jen Azman bin Taib TUDM diiringi Pegawai Memerintah ITAS, Lt Kol Saipol bin Jamil TUDM di Dewan Auditorium, ITAS.
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Website
Address
Kolej Tentera Udara
Kepala Batas
06200