Sabah Headlines
Portal Media bebas informasi umum.
█║▌│█│║▌║││█║▌║
Halaman Facebook Rasmi
01/06/2026
JHEAINS Serbu Program Ahmadiyah Qadiani di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU, 1 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap satu program yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani di sebuah dewan sekolah menengah di sini pada 31 Mei lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, tindakan itu diambil susulan aduan awam mengenai penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikendalikan oleh Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM).
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan 52 Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAINS dengan bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran operasi.
Siasatan awal mendapati program yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei itu dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh Sabah. Turut dirampas ialah pelbagai bahan penerbitan, dokumen dan bahan promosi yang dipercayai berkaitan dengan ajaran berkenaan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah negeri.
Mohd Arifin menegaskan bahawa ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng di Sabah, justeru umat Islam dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang usaha penyebaran fahaman yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi tersebut serta menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memelihara kesucian akidah umat Islam di Sabah.
Tamat
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Contact the business
Telephone
Website
Address
Taman Aman Jalan Silam
Lahad Datu